Yang tinggal hanyalah kenangan ....
Diiringi doa dan air mata ...
Yang pergi takkan kembali lagi....
Ustaz Asri bersama anaknya, hamdi rabbani..
Lebih kurang jam 11 pagi tadi, beberapa sms menerjah masuk ke no celcom admin menyatakan khabar bahawa Ustaz Asri Rabbani (40) telah meninggal dunia dalam perjalan ke hospital perubatan Pantai, Bangsar setelah jatuh pengsan semasa memberikan ucapan dalam sidang media program 'Syahadah' di Angkasapuri, Radio Televisyen Malaysia (RTM) kira-kira pukul 10 pagi tadi. Antara percaya dan tidak, admin menerima hakikat bahawa vokalis bersuara unik ini lebih disayangi Allah s.w.t. Semoga dengan usaha dakwah arwah Ustaz Asri dalam bidang nasyid ini diberkati dan menjadi bekal berguna buat beliau di alam barzakh. Takziah buat isteri Ustaz Asri, anak-anak beliau, ahli keluarga dan kumpulan Rabbani yang sudah pastinya amat merasai kehilangan dan pemergian beliau. Al fatihah.
Ustaz Asri dilahirkan pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor.
Selain seorang balu, Haliza, 38, arwah turut meninggalkan enam orang anak iaitu Mohd Nasimudin, 15, Mohd Fathi, 14, Nur Atikah, 12, Mohd Ilhan, 10, Sufiyah Munawarah, 6, dan Hamdi Rabbani, 4.
Asri menyertai kumpulan nasyid terkenal itu sejak ia ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 1997 dengan dianggotai oleh sembilan orang termasuknya.
Sebelum Rabbani, kumpulan itu dikenali sebagai Nada Murni yang ditubuhkan sekitar tahun 80-an.
Asri juga pernah menyanyi secara duet dengan beberapa penyanyi terkenal seperti Mawi menerusi lagu 'Saksi' dan 'Mentari Merah Di Ufuk Timur' nyanyian bersama Amy Search.
Kehilangan Asri kini bermakna hilanglah tunjang Rabbani memandangkan arwah banyak menyumbangkan kemajuan prestasi sekaligus memberikan kejayaan kepada Rabbani dan industri muzik nasyid.
Atas kejayaan itu, maka tidak hairanlah jika Rabbani dijulang sebagai Penyanyi/Artis Nasyid Popular di Anugerah Bintang Popular (ABP) selama lapan tahun berturut-turut.
Tidak kurang juga anugerah yang dicapai di Anugerah Industri Muzik (AIM) seperti Album Nasyid Terbaik 2001 (Iqrar - 1421), Vokal Berkumpulan Terbaik Dalam Album 2001 (Iqrar-1421), Album Terbaik 2001 (Iqrar-1421), Album Nasyid Terbaik 2002 (Intifada), Album Nasyid Terbaik 2003 (Qiblat) serta Album Nasyid Terbaik 2009 (Nostalgia Nada Murni) dan Lagu Nasyid Terbaik 2009 (Bila Nur Melimpah Di Hati).
Revolusi muzik nasyid yang dilalui Rabbani selama berjuang dalam industri hiburan seringkali mencetus pelbagai perdebatan.
Ada yang berpendapat, lagu-lagu nasyid nyanyian Rabbani tersasar daripada landasan muzik nasyid yang sedia ada.
Sebelum ini, kumpulan ini pernah merakamkan lagu Pergi Tak Kembali ciptaan KRU berteraskan genre pop yang mendakwa Rabbani seperti meminggirkan objektif utama lagu nasyid.
Namun,kemunculan Rabbani yang turut dianggotai oleh Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman ini tampil dengan konsep yang tersendiri.
Dalam tempoh lebih 12 tahun berada dalam industri ini, Rabbani telah menghasilkan 19 buah album seperti 'ARAH Dari Mana… Ke Mana…' (1997), 'Pergi Tak Kembali' (1999), 'Intifada' (2000), 'Yalla Beena' (2004) dan yang terbaru, 'Nostalgia Nada Murni'.
Bermula dengan berkonsepkan nasyid klasik, melalui irama-irama yang dipetik dari Timur Tengah, Afrika dan Andalusia, kemudian diadun dan diolah mengikut citarasa yang sesuai dengan era yang terkini.
Juga dipersembahkan bersesuaian dengan citarasa remaja.
Disamping itu ditampilkan dengan adunan muzik ala melayu timur dan digabungkan dengan adunan muzik timur tengah.
Dan kini Rabbani muncul pula dengan konsep yang lebih global dalam bidang muzik tanpa mengurangkan kualiti mesej yang akan disampaikan dengan menampilkan world music didalam lagu-lagu terbarunya.
Ini adalah untuk menjadikan irama nasyid ini akan terus segar dari semasa ke semasa dan terus diminati oleh semua golongan tanpa mengira had bangsa dan negara.
Bagaimanapun dalam menyampaikan irama nasyid ini mesej adalah yang paling utama sekali dengan berpersepsikan bentuk nasihat, dakwah dan panduan.
Sekurang-kurangnya sedikit demi sedikit pendidikan secara tidak langsung itu berjaya masuk ke ruang fikiran sambil berhibur.
No comments:
Post a Comment