Thursday, September 3, 2009

Kursus Pemantapan Aqidah bersama AADK


1-3 Sept 2009
Pusat Pemantapan Aqidah JAKIM, Jelebu, N9
34 peserta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Dalam Negeri

Sesi Ice breaking...

Sesi Ice breaking...

3 hari 2 malam Team BMQ bersama 34 peserta yang terdiri daripada bekas penagih yang dalam proses pemulihan untuk kembali ke pangkuan masyarakat. Agak mencabar untuk melakukan ice breaking bersama para peserta kerana mereka kelihatan agak serius. Namun setelah aktiviti demi aktiviti dijalankan, usaha kami mula membuahkan hasil. Para peserta mula menerima kehadiran kami untuk berkongsi ilmu dengan mereka.



Klinik Al Quran...Peserta melancarkan surah fatihah...

Klinik Al Quran selepas Asar nampaknya semakin mendekatkan kami dengan peserta apabila mereka mula merasakan pentingnya al quran dalam kehidupan . Dalam klinik ini peserta difahamkan terhadap kepentingan al quran, hikmah solat sebagai terapi utama, kesempurnaan mandi hadas serta sedikit tanggungjawab diri. Bacaan al fatihah juga diperbetulkan. Setelah berbuka puasa dengan sedikit kurma dan air mineral, kami bersolat maghrib berjamaah seterusnya menikmati jamuan nasi. Selesai solat Isya dan tarawih, Slot I ( Mengenal Diri) yang dikendalikan dengan baik oleh Ust Subhi Asha'ri mengisi aturcara malam pertama.
LDK I Mengenal Diri...

Kami mempunyai sasaran yang tinggi terhadap peserta dalam program ini. Fokus utama adalah agar mereka dapat berpuasa penuh kerana hampir 90% daripada mereka tidak memenuhi tuntutan itu pada hari pertama. Fokus yang kedua adalah melazimi solat dan mendekati al quran. Alhamdulillah, keesokan harinya hinggalah hari terakhir program kami mendapati kebanyakan daripada mereka berpuasa penuh dan mudah mudahan amalan itu berkekalan hinggalah mereka pulang.

Sesi Qiam dan Laman Nurani...

Hari kedua bermula dengan qiam ringkas iaitu solat tahajjud dan taubat. Ada di kalangan mereka yang pertama kali bertahajjud. Justeru, sesi ini dipermudahkan dengan bacaan yang sederhana serta alunan zikir yang mudah diikuti dengan penjelasan agar mereka memahami konsep dan tujuan qiamullail itu sendiri. Selepas sahur dan solat subuh saya memberikan kuliah subuh ringkas bersempena dengan kemerdekaan iaitu memerdekakan diri dari runtunan hawa nafsu. Kemerdekaan yang sebenar ialah bebas dari belenggu hawa nafsu serta mentaati Allah dalam semua hal. Slot II sebelah pagi dikendalikan oleh Ust Ramadhan melalui tajuk " Aku Masih Belum Terlambat". Alhamdulillah, mereka banyak berkongsi masalah yang dihadapi dan cuba mencari jalan keluar yang terbaik. Kami mendapati kebanyakan mereka menyuarakan masalah yang lebih kurang sama iaitu penerimaan keluarga dan masyarakat serta gagal menahan kemahuan diri terhadap kesilapan lalu.

Slot Pemantapan Solat pada jam 11 pagi hari kedua mula membuka ruang pemikiran peserta terhadap kepentingan solat. Ada di kalangan mereka yang tidak pernah bersolat justeru, setiap rukun dan doa dijelaskan secara terperinci. Saya terpaksa menulis bacaan solat dalam bahasa rumi kerana mereka tidak mahir dengan tulisan jawi. Sesi teori dan praktikal ini saya kira berjaya melalui kesungguhan untuk menghafal setiap bacaan dalam solat yang ditunjukkan peserta. Ini kerana salah satu sebab utama mereka tidak bersolat ialah kerana tidak tahu apa yang hendak dibaca.

Bengkel Solat...

LDK 1 pada sesi petang oleh Ust Subhi mendedahkan peserta dengan tanggungjawab terhadap diri, keluarga dan agama. Selepas solat asar pula, peserta bertalaqqi bersama Ust Subhi dalam bab Puasa dan tuntutannya. Selesai berbuka dan berterawih Slot Wasiat Iman mengisi malam terkahir. Saya berusaha menjelaskan kepadap para peserta berkaitan dengan Tazkiyatun Nafs iaitu Penyucian Jiwa; Konsep, Tujuan dan Kaedah. Mudah mudahan dengan penerangan ini mereka akan merasai betapa proses penyucian jiwa itu begitu mudah jika kita mengetahui jalan menuju ke arahnya. Sesi recall berkaitan kematian dan azab kubur bermula dengan tayangan proses pengendalian jenazah dan klip ringkas berkaitan azab kubur. Saya cuba membawa peserta meneroka alam permulaan mereka bersama keluarga hinggalah mereka terlibat dengan gejala yang tidak baik sehinggalah mereka diberi peluang semula untuk bertaubat.

Slot Aku Masih Belum Terlambat...


LDK III...

Hari ketiga, LDK II dengan objektif pendedahan ekonomi kepada peserta mendapat respons yang amat baik. Mereka mula berfikir di luar kotak untuk mencipta peluang kerja bukan semata mengharapkan kerja makan gaji sahaja. LDK III merangkap pleno dan resolusi saya sempat memanggil beberapa peserta dan bertanyakan perasaan mereka mengikuti program. Saya melihat kesedaran yang amat tinggi di kalangan peserta untuk membuat perubahan diri. Cuma mereka perlukan sedikit lonjakan dan sokongan dari semua. Apa pun, saya menekankan bahawa insan yang yang baik merubah diri mereka sendiri dahulu, barulah mereka berjaya merubah orang lain. Mereka harus mempunyai daya tahan yang kuat apabila berhadapan dengan keinginan untuk mengambil bahan terlarang itu. Mereka harus membuktikan mereka telah berubah barulah pandangan keluarga dan masyarakat akan berubah.

Cabaran Paku..

Kami mengakhiri program dengan sesi wida' bersalaman dan berpelukan. Kelihatan mereka seolah-olah sebagai sebahagian dari ahli keluarga sendiri. Saya dan rakan rakan trainer amat bersyukur dengan pengalaman pertama kami dalam program sebegini dan kami berharap segala ilmu yang kami curahkan dikira sebagai amal soleh di sisiNya. Sekalung budi setulus hati kepada urusetia AADK ( Ust Syam dan rakan2) serta Ust Kamel ( Penguasa PPAJ), Ust faizal, Ust Najib Ustzh Fatimah dan Ust Afif kerana tidak jemu memanggil kami memberikan sedikit amal di PPAJ.

Menikmati hidangan berbuka..

No comments: