Saturday, January 9, 2010

Akhiratkan Masa Dalam Hidup Kita



Setiap tahun kita menyambut tahun baru. Sama ada dalam kalendar Masihi atau Hijriah. Banyak azam baru yang berlegar di fikiran. Pelbagai matlamat diletakkan untuk dicapai dalam kepala dan benak fikiran kita. Walau pun mungkin azam tahun lepas dan tahun-tahun sebelumnya masih belum tercapai namun itu semua tidak merencatkan kita semua untuk berazam.

Satu perkara yang pasti, sama ada kita meletakkan azam atau pun tidak. Atau pun kita membuat sambutan tahun baru atau sebaliknya, masa akan terus berlalu. Usia kita akan semakin bertambah. Kulit yang dulunya tegang mula semakin mengendur. Tenaga kita yang kuat semakin hari berkurang. Mungkin dulu kita seorang pemuda yang gagah atau pun seorang remaja perempuan yang cantik tetapi mungkin hari ini kita menjadi mengah dan tidak segagah dulu. Seorang puteri yang cantik tetap akan berubah menjadi seorang nenek andai Allah memanjangkan tabung hayatnya. Rambut yang hitam kian memutih. Suara yang halus menjadi kasar dan tersekat-sekat. Mungkin dulunya kita bebas memakan apa sahaja, tetapi hari ini terpaksa menahan keinginan atas halangan kesihatan.

Satu perkara yang pasti, biar masa berlalu, tahun bertambah, detik tidak berhenti, kita semua pasti akan mati. Meninggalkan insan lain melalui proses putaran yang sama. Semuanya akan mati. Biar apa yang kita lakukan sepenting mana pun urusannya, sebesar mana pun kuasa kita, namun jika Izrail memulakan tugasnya, kita terpaksa meninggalkan semua.


“Wahai orang yang beriman. Bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah setiap jiwa melihat apa yang ia sediakan untuk hari esok (hari pembalasan) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang kamu lakukan” (Al-Hasyar : 18)

Apa maksud subjek perbincangan kita? Akhiratkan masa kita? Maksudnya biarlah setiap urusan kita diakhiratkan. Ada pahala dan kebaikan. Bermula dari sekecil-kecil urusan hinggalah sebesar-besar perkara, biarlah semuanya diakhiratkan. Kalau kita bekerja, bekerjalah dengan ikhlas dan penuh amanah. Kalau kita berurusan dengan manusia, tepatilah janji, jagalah akhlak dan tutur bicara. Kalau kita belajar, belajarlah dengan bersungguh-sungguh dengan tujuan mencari ilmu untuk mengenal Allah, memberi manfaat kepada manusia lain. Bukan untuk membanggakan diri dan menunjuk-nunjuk kepandaian kita. Kalau kita berharta, janganlah bongkak dengan kekayaan atau kelebihan kita. Jangan ada perasaan bongkak dalam diri. Niat boleh mengubah status amal. Dari amal yang baik menjadi dosa bahkan mungkin dosa besar. Berpakaian yang baik adalah suatu sunnah dan berpahala tetapi jika berpakaian kerana ingin menunjuk status dan kemampuan diri maka terselitlah rasa riak & takabbur dalam diri yang merupakan suatu dosa besar.
Hidup ini adalah tempat persinggahan untuk mencari bekalan dan menempuh ujian. Sama seperti R&R di lebuhraya tempat kita berhenti. Kita akan meneruskan perjalanan hinggalah ke destinasi akhir kita. Kalau kita berjuang, bukan kita yang memulakan perjuangan ini. Kita hanyalah mata rantai-mata rantai yang terus ada hinggalah kita tersadai binasa dan digantikan dengan mata rantai-mata rantai yang baru. Justeru, AKHIRATKAN masa kita..Allahumma Amiiin..